Sunday, July 8, 2012

Perkahwinan : Antara Rezeki Allah Dan Persangkaan Manusia


Allah berfirman: " Dan nikahkanlah orang-orang yang bujang di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui." ( Surah An Nur ayat 32 )

Cuba kita fikirkan sejenak tentang ayat yang mulia ini dan apakah kebenaran ayat ini. Generasi hari ini menganggap bahawa kestabilan ekonomi yang sejajar dengan dunia moden adalah sukatan terhadap kelayakan seorang lelaki untuk berkahwin. Adakah kita tidak yakin dengan Sunnatullah yang Allah janjikan dalam ayat di atas ?

Adakah kita tidak memerhatikan rezeki ibu bapa kita berubah dari tahun ke tahun dan berkadar langsung dengan penambahan adik beradik kita ? Bukankah dari segi logik akal , semakin banyak adik beradik semakin sempit hidup ? Mengapa kurniaan yang kita nikmati hari ini sangat bercanggahan dengan logik akal itu ? Adakah sama ekonomi ibu bapa kita dan atuk nenek kita pada masa kini berbanding puluhan tahun lepas jika mereka orang yang tetap mendirikan solat dan menunaikan zakat ? Kita tahu semua jawapannya dengan jelas.

Kita telah menjadi saksi terhadap perjalanan hidup kita dan juga menjadi saksi terhadap perjalanan hidup ibu bapa kita jika mereka orang yang beriman. Kalaulah kebenaran itu sudah di depan mata dan bukti sunnatullah dari nas Quran sudah dibentang, mengapa kita perlu menokok tambah teori perkahwinan dan hukum pernikahan yang tidak berasal dari Allah dan Rasul lalu menganggapnya sebagai baik ? Jika kita merasakan akal kita pintar, semestinya kepintaran itu dibuktikan dengan kita menganggap pencipta akal itu lebih pintar berbanding kita. Maka pilihan yang paling tepat dan waras ialah meyakini janji-janji Allah sebagai pencipta sekalian alam.

Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan menyempitkan (bagi siapa yang dikehendaki-Nya), akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui ( Surah As Saba ayat 36 )

Menariknya Allah mengatakan " kebanyakan manusia tidak mengetahui ". Mengapa kebanyakan manusia tidak mengetahuinya dan hanya sedikit yang menyedarinya ? Kerana kebanyakan manusia menjangkakan rezekinya hanya daripada gajinya sebagai jurutera, doktor, peguam dan lain-lain. Jika Allah menghalang rezeki itu dari sampai kepada majikannya, kepada siapa lagi boleh mereka meletakkan pengharapan selain daripada Allah ? Kebanyakan manusia menjangkakan bahawa dia boleh menjadi senang dengan bekerja di sektor kerajaan dan mereka menghitung-hitung wang pencen yang bakal mereka terima 40 tahun akan datang. Perbuatan ini tidak ubah seperti mereka yakin mereka dapat hidup tanpa mati sehingga waktu mereka menerima wang tersebut. Tahanlah kematian dari diri mereka sebelum pencen jika mereka orang-orang yang benar !

Kita memuji wanita-wanita yang bernikah muda ketika keperluan nikah datang kepada mereka. Adakah kita masih tidak sampai ke tahap perlunya nikah di zaman yang serba mencabar ini ? Syabas buat wanita yang bernikah muda atau yang sedang merancang dengan bertunang . Kalian membuat keputusan yang meningkatkan kemuliaan dan maruah kalian di sisi Allah. Biarlah apa sahaja tuduhan yang dilontarkan kepada kalian. Paling tidak kalian berjaya membuktikan takutnya kalian kepada Allah dengan mengambil keputusan untuk bernikah. Untuk apa kalian bernikah jika bukan kerana takut kepada azab Allah ? 

Bagi mereka yang menghalangi dan menyusahkan perkahwinan dengan teori akal dan adat, mengapakah mereka menganggap pernikahan itu suatu yang lucah sehingga setiap pelakunya perlu diuji dan diberi banyak halangan ? Mengapakah pelaku nikah itu dianggap sedang " gatal hendak berkahwin " ? Tidakkah pernikahan itu ibadah dan tidakkah perbuatan menyusahkan perkahwinan itu sama dengan perbuatan menyukarkan perjalanan seseorang ke masjid ?

Bagi wanita yang ingin meneruskan hasrat murni ini, bulatkan tekad, kuatkan azam dan bertawakkal lah kepada Allah yang menciptakan kalian dari jiwa yang satu ( Adam ). Sesungguhnya Sunnatullah di muka bumi itu lebih besar dari setiap teori akal manusia. Sunnatullah pasti akan berjalan seperti yang dijanjikan sekalipun cuba dihalang oleh sekalian makhluk. Tidak mengapa jika kalian diherdik dan dipandang serong oleh makhluk di bumi asalkan kalian dipandang mulia dan diredhai yang di langit. Insyaallah.

Hadis renungan:

Rasulullah Bersabda : " Barangsiapa menyembunyikan ilmu ( agama ketika masyarakat memerlukannya ), maka Allah akan mengikatnya dengan tali kekang dari api neraka pada hari kiamat " ( Hadis Riwayat Ibn Hibban. Sahih Ibn Hibban )

Wallahua'lam.

Ambil Tahulah Tentang Agamamu Sendiri

Apabila ahli dunia itu melihat saudaranya mendapat kereta yang mewah, mereka merasa teruja dan berfikir, " Kalaulah kereta itu milik aku ". Namun orang mukmin apabila melihat saudaranya mati syahid, itu merupakan cemburu yang paling besar. Kerana saudaranya itu kelak akan menjadi sangat kaya raya di akhirat sedangkan dirinya belum pasti akan memperolehi semua itu. Andaikata sebuah negara zalim mewajibkan untuk setiap rakyat dibunuh ketika mencecah umur 30 tahun, pasti menggigil mereka yang telah memasuki umur 28 atau 29 tahun.

Namun Allah telah pun mewajibkan setiap manusia itu untuk mati sekalipun mereka tidak suka. Tidak ada seorang pun mengatakan Tuhan itu zalim kerana mewajibkan setiap jiwa untuk mati. Semua akan merasa roh ditarik keluar dan pucatnya sekujur tubuh disulami dengan kesakitan yang amat sangat. Para sahabat telah merasainya, para ulama yang kita baca kitabnya juga telah merasainya dan orang-orang di sekitar kita juga telah ramai yang merasai sakitnya ajal. Bahkan nama-nama ahli dunia yang kita banggakan seperti Newton, Einstein, Aristotle dan lain-lain semuanya sudah direntap nyawa masing-masing dan buruknya nasib mereka jika mereka kufur.

Mereka telah merasakan peritnya kematian dan sedang sibuk menguruskan urusan mereka di alam arwah. Kita semua juga pasti akan merasainya. Namun setiap orang seolah-olah cuba memujuk diri sendiri untuk melupakan mati. Bahkan ketika kita terfikir tentang kematian diri sendiri, cepat-cepat kita menepis gambaran itu dari minda. Walhal mati itu satu kepastian dan tidak akan dinafikan melainkan si gila yang telah hilang fungsi logik akal.

Namun itulah bisikan syaitan. Syaitan laknatullah telah membuatkan manusia takut memikirkan tentang kematian dirinya sendiri dan menjadikan manusia tidak mengizinkan gambaran kematian dirinya sendiri untuk singgah di benak fikiran walaupun sekejap.

Walhal manusia yang waras pasti tahu dirinya akan mati. Itu realiti yang mesti ditempuh ! Jadi mengapa menepis gambaran kematian diri sendiri jika ia singgah di benak fikiran ? Jika kita waras, pasti kita sedar daripada kita tidak buat apa-apa untuk persediaan mati, lebih baik kita beramal dengan amal yang soleh.

Jika tidak berbuat apa-apa untuk memburu syurga, pasti syurga tidak menjadi tempat kita kelak. Kulit kita akan dibakar di neraka dalam keadaan ahli syurga sedang menikmati kenikmatan seks dan makanan yang lazat-lazat. Apa perasaan kita jika kita sedang merasai kesusahan dan azab dalam masa yang sama ahli syurga sedang bersenang lenang ? Apa perasaan kita meminum air nanah dari neraka dalam keadaan penduduk syurga sangat gembira kerana mereka tahu mereka tidak akan keluar lagi dari syurga buat selama-lamanya ? Mungkin ada yang berkata, " Ah, kita ini akan masuk neraka juga tapi tak lama. Mengapa perlu taksub belajar agama ? ".

Jawab Allah :

" Mereka diseru kepada kitab Allah supaya kitab itu menetapkan hukum di antara mereka; kemudian sebahagian dari mereka berpaling, dan mereka selalu membelakangi (kebenaran). " ( Ali Imran : 23 )

" Hal itu adalah kerana mereka mengaku: "Kami tidak akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang dapat dihitung". Mereka diperdayakan dalam agama mereka oleh apa yang selalu mereka ada-adakan " ( Ali Imran : 24 )

Namun bagaimana jika kulit mereka benar-benar dibakar ? Mampukah mereka menahannya walau seminit ?

" Bagaimanakah nanti apabila mereka Kami kumpulkan di hari (kiamat) yang tidak ada keraguan tentang adanya. Dan disempurnakan kepada tiap-tiap diri balasan apa yang diusahakannya sedang mereka tidak dianiaya (dirugikan)." ( Ali Imran : 25 )

Namun, jika kita berusaha untuk beramal, paling tidak peluang untuk kita ke syurga masih terbuka dan kita serahkan kepada Allah untuk menilai amalan yang telah kita lakukan di dunia.

Jika kita masih merasakan bahawa kehidupan selepas mati itu seolah mitos hang tuah yakni mungkin benar dan mungkin karut, cubalah buktikan bahawa Quran itu dusta, Muhammad itu dusta, Isa itu dusta, Musa itu dusta dan Ibrahim itu dusta. Datangkan semua hujah-hujah jika kita mampu. Jika tidak mampu membuktikannya, maka takutlah kepada azab Allah yang dijanjikan untuk orang yang tidak mahu mendekati agamanya sendiri.

Wallahua'lam.

Penuntut Ilmu Yang Bercirikan Munafiq ?


BERIKUT ADALAH ANTARA CIRI-CIRI MUNAFIK YANG DISENARAIKAN OLEH DR AIDH ABDULLAH QARNI DALAM BUKUNYA ' JAUHI PARA MUSUHMU ' , M/S 22-23 & 26-27 :


Memperbesarkan masalah kecil dan meremehkan masalah besar ( m/s 22-23 )


Allah berfirman : " Sesungguhnya apabila tidak berhenti orang-orang munafiq yang berpenyakit dalam hatinya dan orang-orang yang menyebarkan berita bohong di Madinah ( dan menyakitimu ) " ( Surah Al Ahzab : 60 ) 

Pada hakikatnya Al Irjaf dan At Takhdzil sama. Tetapi pelaku Irjaf biasanya sering membesar-besarkan kejadian. Misalnya, apabila terjadi hal yang mudah dia menyukarkan dan memperbesarkan.Apabila mendengar seorang Mujahid terbunuh, dia akan berkata : " Saya mendengar 100 Mujahid terbunuh. ".

Atau misalnya, apabila seorang ulama melakukan kesalahan dalam masalah yang tidak penting, ia berkata : " Semoga Allah SWT memberikan hidayah kepada kita dan khusus kepada beliau ".

Mereka membodoh-bodohkan orang yang berbuat kebaikan. " Orang-orang apakah seperti ini ? " Seakan-akan orang yang baik itu tidak pernah melakukan kebenaran. Apabila seorang Dai'e berkhutbah sedangkan ada kata-kata yang kurang tepat, maka si murjif ( pelaku irjaf ) membesar-besarkannya di majlis tersebut dengan katanya : " Apakah kamu tidak mendengar apa yang dikatakan Si Fulan tadi ? ".

Bahkan ia cuba memotong ceramahnya. Ia melupakan, orang dai'e tersebut memiliki banyak kebaikan dan keutamaan, akan tetapi tidak pernah ia utarakan kepada khalayak.

As-Syatibi berkata : " Aku tidak pernah melihat bahaya orang yang murjif. Demi Allah, apabila aku benar 99 kali, mereka akan melupakanku ketika aku melakukan satu kali kesalahan  ". Ini merupakan irjaf. Dengan perilaku ini, mereka telah mencerai-beraikan hati. 


Merendahkan Kehormatan Orang-orang Soleh ( m/s 26-27 )


Perkara ini berbeza dengan mencemuh. Contoh merendahkan atau melecehkan adalah menghibah ( mengumpat ) orang-orang soleh.

Allah SWT berfirman :" Mereka mencaci kamu dengan lidah yang tajam sedangkan mereka bakhil dalam berbuat kebaikan ". ( Surah Al Ahzab : 19 ) 

Hidadin dalam ayat asal ( Bahasa Arab ) di atas ini ertinya, seolah-olah pedang. Ini dapat dilihat dari sikap munafik yang apabila mereka itu bertemu orang-orang soleh mereka membicarakan di belakang, memburukkan dan melecehkan kehormatan mereka dengan ghibah dalam pertemuan mereka.

Ibn Taimiyyah mengatakan bahawa di dalam doa itu juga kadang terdapat ghibah yang disebabkan oleh niat itu sendiri. Apabila engkau berkata : " Apa pendapatmu tentang Si Fulan ? ". Ia menjawab : " Semoga Allah SWT mengampuni kita dan dia ". Tapi apa yang dia maksudkan bukan mendoakan keampunan tetapi ada niat lain yang Allah SWT lebih mengetahui.

Contoh doa lainnya : " Semoga Allah SWT menyelamatkan kita dari cubaan dia " atau " Semoga Allah SWT memberikan hidayah kepadanya ".

Bahkan dalam tasbih pun terdapat ghibah, seperti dikatakan Abdullah Ibn Mubarak.Dikisahkan, ada seorang lelaki yang menghadiri pertemuan dengan sultan. Lalu salah seorang menteri berkata : " Subhanallah ". Yang dia maksudkan adalah " hati-hati pada si lelaki ".  Secara zahirnya, menteri itu membaca tasbih, padahal ada niat lain yang tersembunyi dalam hatinya, ia menghina dan memburukkan lelaki itu. Inilah perbuatan-perbuatan hati, hanya Allah SWT yang Maha Tahu. Pada waktu dibangkitkan dari kubur semua yang terbenam dalam hati akan terdedah dan terungkap.Wallahua'lam. 

_____________________________________________________________________.

Komentar saya : Nota ini menjadi kelebihan bagi kita untuk menilai mana satu rakan seperjuangan dan mana satu musuh yang bakal mengheret kita kepada azab Allah yang membakar. Setelah mengetahui ciri-ciri ini maka kita akan lebih mengetahui siapakah yang perlu kita TAHZIR ( PULAU ) sebenarnya. Dengan ilmu yang kita ketahui ini, diharap kelak kita tidak lagi menyanjung atau bersekongkol dengan manusia yang bersikap begini. Yang paling penting ialah kita sentiasa berdoa agar kita diselamatkan dari menduduki tempat munafik di akhirat kelak yakni berada di kerak paling bawah dalam neraka Jahannam. Bahkan lebih bawah dari orang kafir dan penyembah berhala. Waiyyazubillah.