Banyak ulama tafsir berkata : " Jin diciptakan sebelum Adam A.S. Penghuni bumi sebelum manusia adalah Hin dan Bin. Allah menjadikan jin menguasai mereka. Jin membunuh mereka lalu berdiam di bumi setelah peperangan yang telah terjadi. "
Adh-Dhahhak menyebutkan dari Ibn Abbas , bahawa setelah jin membuat berbagai kerosakan di muka bumi dan menumpahkan darah, Allah mengutuskan Iblis kepada mereka, bersama para tentera dari langit. Mereka membunuh para jin ( jin yang paling lemah dan paling rendah ) dan mengusirnya dari bumi ke pulau-pulau di tengah laut.
Hasan Al Basri berkata: " Iblis bukan dari malaikat sedikit pun. Akan tetapi dia adalah asal-mula para jin, sebagaimana Adam asal-mula manusia. "
[ Tamat petikan kitab ]
Setelah peristiwa ini, Iblis diangkat menjadi khalifah para jin yang mendiami bumi. Namun bermulanya episod kehidupan baru Iblis setelah Allah berfirman :
Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi". Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau? " Tuhan berfirman: " Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui ". ( Al Baqarah: Ayat 30 )
Setelah Allah melantik Adam A.S dengan hak mutlakNYA, maka tergugatlah kedudukan Iblis yang selama ini menyandang kerusi khalifah. Maka sifat hasad terhadap kelebihan Allah kepada orang lain timbul dalam diri Iblis. Amarahnya membuak dan takabburnya terzahir apabila dia ingkar untuk sujud kepada Adam A.S yang telah mengambil tampuk kehormatannya. Oleh sebab dirinya dikuasai takabbur, hasad dan amarah, maka kebenaran seperti tidak kelihatan baginya. Lantas dia melakukan kesalahan fatal seperti berikut:
1) Membuat Qias yang salah atau rosak dalam hujahnya. Perhatikan dalam ayat berikut bagaimana sikap takabbur mengheret Iblis kepada Qias ( perbandingan ) yang rosak :
Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku memerintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.” ( Surah Al-A’raaf: Ayat 12 )
Kita bertanya kepada Iblis : " Apa kaitan perbezaan api dan tanah dengan arahan mutlak dari Allah SWT ? ". Maka manusia yang berdolak dalih dengan Qias yang rosak demi melarikan diri dari ketaatan terhadap arahan Allah SWT telah pun mengikuti jejak langkah Iblis. Pelbagai Qias dan dalih dicipta oleh manusia untuk mengelak dari taat kepada Sunnah Baginda SAW dalam setiap amalannya walaupun tahu Allah SWT itu tuhan sekalian alam. Penyakit ini sering menyerang Ahli Bid'ah sehingga ia lupa pada firman Allah :
"Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutlah aku ( Nabi SAW ), nescaya Allah mencintai kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". ( Surah Ali Imran : Ayat 31)
Wahai Ahli Bid'ah ! Terimalah kenyataan bahawa Rasulullah SAW telah dilantik oleh Allah SWTsebagai penyampai syariat yang tunggal. Tundukkan ego dan berpalinglah terhadap firkah-firkah ciptaan manusia yang kalian agungkan. Sesungguhnya Iblis benar-benar tersungkur apabila gagal memahami konsep ini. Al-Quran juga telah merakamkan kebodohan kaum terdahulu apabila ingkar terhadap kebenaran hanya kerana tidak mahu nenek moyang mereka dipersalahkan.
Allah berfirman: “Apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah mengikuti apa yang telah diturunkan Allah dan mengikuti Rasul !” Mereka menjawab: “Cukuplah untuk kami apa yang kami warisi dari nenek moyang kami!” (Apakah mereka tetap akan mengikuti juga) walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun dan tidak dapat petunjuk?!” ( Surah Al Maidah : Ayat 104 )
2) Menghina makhluk Allah yang lainnya:
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; maka mereka sujudlah melainkan iblis; ia berkata: “Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah? ” ( Surah Al-Isra’ : Ayat 61 )
Tidak diragukan lagi apabila kita menghina orang lain, kewarasan akal kita pasti tertutup. Maka mudahlah takabbur, hasad dan amarah bercampur baur dalam jantung hati. Padahal itu sifat tradisi yang cuba diwariskan kepada kita oleh Iblis laknatullah. Apabila diseru kepada seseorang untuk kembali kepada kebenaran lantas orang itu memandang lekeh kebenaran yang dibawa kepadanya ( padahal semua itu daripada Allah dan Rasul ), maka orang itu pasti dipalingkan dari kebenaran yang tidak menjadi pilihannya itu.
3) Memilih kesesatan :
Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperindahkan (segala jenis kemungkaran) kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.” ( Surah Al-Hijr : Ayat 32-39 )
Dalam perenggan perkataan “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat ”, seolah-olah Iblis menyandarkan segala kesalahannya dari awal ( enggan sujud ) hinggalah yang terkini ( diusir dari langit ) berpunca dari Allah Subhanahu wa Ta'ala. Kemudian, perkataan Iblis itu tidak pula dibantah oleh Allah.
Tanpa adanya bantahan dari Allah, apakah dengan itu perkataan Iblis adalah benar dan ia bukan tuduhan semata-mata? Adakah sememangnya Allah yang sengaja menjadikan Iblis takabbur dan sesat sehingga diusir dari langit ?
Persoalan ini dijawab bahawa kesalahan Iblis secara keseluruhannya berpunca dari dirinya sendiri. Kesalahan tersebut bermula dari Iblis yang memilih untuk bersikap takabbur sehingga melawan perintah Allah untuk sujud kepada Adam. Atas pilihan Iblis inilah Allah menyesatkannya. Ini kerana merupakan peraturan Allah (sunnatullah) bahawa sesiapa yang memilih untuk berpaling, melawan atau membantah dari perintah-Nya, maka Allah akan memaling orang tersebut dari hidayah-Nya sehingga menjadilah dia orang yang sesat. Ayat berikut menjadi rujukan:
Allah Berfirman: " Maka ketika mereka berpaling (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah memalingkan hati mereka (dari mendapat hidayah); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang fasik -derhaka. " ( Surah Al-Saf :Ayat 5 )
Wallahua'lam
No comments:
Post a Comment