Gambar polis keagamaan Iran mengenakan tindakan kepada wanita mereka yang tidak sempurna dalam berpakaian. Cara Syiah yang turut diikuti oleh sebahagian negara Sunni ini adalah tidak tepat dalam uslub dakwah.
Malam ramadhan yang hening ini sesuatu telah bermain di minda saya sambil menganalisis kesalahan diri dalam memahami cara mengislah ( mendidik ) wanita. Seorang wanita yang diutuskan Allah kepada saya melalui ketentuan taqdirNYA telah mengajar saya suatu pengajaran yang besar secara tak langsung.
Rasanya macam kadang-kadang kita sendiri kabur tentang kaedah terbaik dalam mengajak wanita ( terutamanya isteri ) kepada syariat. Bila kita teliti semula khazanah sirah yang sahih, ia seolah-olah menggambarkan dalam bab pakaian tak boleh terlalu memaksa walaupun melibatkan keputusan wanita untuk pakai tudung atau tidak ( freehair ). Sebab dalam mengislah ( memperbaiki) manusia, Allah memerintahkan sesuatu peringkat demi peringkat. Tidaklah Allah memerintahkan hijab serta merta selepas Nabi Muhammad SAW dilantik menjadi Rasul bahkan ayat perintah untuk berhijab turun pada tahun ke-5 Hijrah iaitu 5 tahun sebelum kewafatan baginda SAW dan 5 tahun sebelum sempurnanya agama ! Contohnya ketika zaman Rasulullah SAW, kaum muslimin selepas memeluk Islam makin hari makin rasa tak senang dengan keadaan pakaian wanita mereka walaupun ayat perintah untuk wanita berhijab belum lagi diwahyukan. Antara sahabat yang paling peka dan mampu meluahkan perasaan tidak senang dengan keadaan cara berpakaian wanita mereka adalah Umar Al Khattab RA yang terkenal dengan ilhamnya yang tajam dan tepat. Perasaan tidak senang itu semakin hari semakin meningkat berkadar lansung dengan peningkatan iman semenjak para sahabat memeluk Islam sehingga akhirnya Umar Al Khattab meluahkan isi hatinya kepada Rasulullah SAW.
Daripada Aishah RA, bahawa apabila para isteri nabi hendak buang air pada malam hari, mereka pergi ke tanah lapang. Umar Al Khattab mengusulkan kepada Nabi supaya menyuruh para isteri baginda memakai hijab, tetapi Rasullullah tidak berbuat apa-apa. Pada suatu malam isteri nabi Saudah Binti Zam'ah keluar waktu Ishak dan dia adalah seorang yang tinggi perawakannya, lalu Umar menyapanya " Hai kami mengenal engkau, wahai Saudah ". Dia menyapa kerana sangat mengharapkan supaya turun ayat (perintah hijab) memang sesudah itu turun ayat hijab ( Riwayat Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari Jilid 1 )
Dalam kes khamr ( arak ) pula, Allah tidak mengharamkan sekali gus tetapi hanya melarang untuk bersolat dalam keadaan mabuk pada peringkat awalnya.
Allah berfirman : " Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat sedang kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan " (An-Nisaa', Ayat 43)
Ketika itu kaum muslimin tetap meminum arak namun menunggu sehingga fikiran mereka pulih seperti sediakala dan boleh menyedari apa yang diucapkan jika ingin menunaikan solat. Tentu situasi ini menimbulkan kecanggungan bagi kaum muslimin yakni sukar untuk mereka melakukan solat 5 waktu akibat kesan khamr yang agak lama untuk beransur hilang di dalam akal. Justru, Allah menguraikan kekusutan mereka dalam kehidupan yang keliru dengan menurunkan ayat pengharaman khamr secara sempurna selepas itu. Lantas kaum muslimin yang selama ini menyimpan di dalam jantung hati tentang keganjilan tabiat minum khamr terus bersepakat dengan nas Quran yang memahami keadaan mereka ketika itu yang berselang seli solat dan bermabuk-mabukan sehingga menyukarkan diri sendiri. Tanpa berfikir panjang mereka menumpahkan tong-tong khamr di rumah mereka sehingga madinah dipenuhi air-air arak di setiap lorong dan jalan ketika hari turunnya ayat pengharaman khamr.
Maka daripada pengajaran sirah ini, Allah lebih tahu perintah hijab wajar turun di dalam Quran pada tahun 5 Hijrah. Mungkinkah Allah tidak mengetahui kepentingan hijab sebelum tahun 5 Hijrah ? Allah tahu namun Allah memerintahkan pada masa yang tepat apabila akidah dan iman mereka (para sahabiah ) sudah dimantapkan dan digilap dari hari ke hari. Wanita mukminat ketika itu makin sedar ada suatu yang tak kena pada pakaian mereka akibat iman yang fitrah semakin mekar di dalam diri. Disebabkan itu wanita mukminat di Madinah pada masa itu segera menutup apa yg diperintahkan untuk ditutup sejurus selepas turunnya ayat perintah untuk berhijab kerana iman mereka sudah dimantapkan dengan didikan madrasah Nabi SAW.
Kesimpulannya di sini lelaki yang terlalu gopoh dalam memaksa pakaian wanita akan menyebabkan lahiriah wanita itu lebih lajak dari laju dari batiniah mereka. Sedangkan Islam mementingkan keseimbangan dalam pembangunan lahiriah dan batiniah. Maka wanita itu akan jadi hipokrit atau munafik tanpa disedari akibat melakukan sesuatu kerana terpaksa. Oleh sebab itu kita lihat zaman ini wanita berhijab labuh juga terjebak dalam gejala-gejala keji kerana mereka mementingkan pembangunan lahiriah namun mengabaikan pembangunan jiwa dan iman.
Mungkin para pembaca merasa terkejut saya menggunakan perkataan 'hipokrit' yang sering digunakan sebagai hujah biasa wanita Freehair dalam mempertahankan diri.Namun saya merasakan apa yang mereka cakap itu tidak bersalahan dengan fitrah perasaan manusia dan memang benar manusia itu tidak boleh dipaksa. Mungkin kita sendiri yang tersalah dalam menasihati yakni meletakkan nasihat bukan pada tempatnya sehingga wujudnya ucapan bela diri dari wanita Freehair.
" Tidak ada paksaan dalam agama " ( Surah Al Baqarah : Ayat 256 )
Ada yang mengatakan dalil di atas ini hanya dalam bab tidak ada paksaan untuk memasuki Islam bukannya setelah memasuki Islam. Orang yang berkata demikian mungkin agak terlalu sibuk dengan latar peristiwa dan sebab turunnya wahyu ( asbabun nuzul ) sehingga melupakan illah hukum ( sebab hukum ) dan psikologi fitrah manusia yang terkandung dalam ayat itu sebagai ukuran yang lebih penting. Sebab teras hukumnya di sini ialah tak mungkin manusia menerima sesuatu sebelum dia diyakinkan tentang sesuatu sehingga dia sendiri ingin melakukannya dengan rela. Jika tidak , maka akan berlaku kontradiksi yang hebat antara kadar iman yang tertanam dalam jantung hati dan penampilan zahir yang saling sentiasa bercanggah satu sama lain. Jika seseorang itu memahami bahawa iman itu bertambah dan berkurang serta mengalami revolusi walaupun telah berada dalam agama Islam, maka semestinya dia tidak menyempitkan tafsiran surah Al Baqarah ayat 256 hanya terhad illahnya ( sebab hukum ) kepada kondisi ' tiada paksaan dalam memeluk Islam sahaja '.
Maka saya cenderung berpendapat lelaki yg lebih lajak dari laju dalam membentuk penampilan wanita telah melakukan kesilapan yang nyata apabila dia belum mampu memahamkan wanitanya mengenai keindahan islam dan kecantikan sunnah. Bahkan kegopohan dalam memaksa pakaian wanita adalah suatu yang bercanggah dengan fitrah kewanitaan dan lebih mengeruhkan keadaan.Sudahkah sang suami membuktikan sifat-sifat suami mukmin yang dicontohkan oleh Rasulullah ? Rasulullah itu adalah orang yang terbaik dalam memperlakukan Isteri seperti yang disebutkan baginda :
Rasulullah bersabda : " Yang terbaik di antara kamu adalah orang yang terbaik dalam memperlakukan isterinya, dan aku adalah yang terbaik di antara kamu terhadap isteriku " ( Riwayat Ibn Majah )
Sudahkah kita mencontohkan kepada isteri kita akhlak yang baik dan berhikmah ? Sudahkah kita mengaplikasikan sebaiknya konsep keadilan dalam rumah tangga ? Sudahkah kita mampu menjadi seorang yang menarik rambut di dalam tepung ketika mendidik isteri ?
Rasulullah SAW sang suami mithali bersabda : " Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya dan hendaklah dia menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya mereka diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok ialah yang paling atas, jika kamu berusaha untuk membetulkannya kamu akan mematahkannya, jika kamu terus biarkan begitu ia akan terus bengkok. Oleh itu terimalah pesanan supaya menjaga wanita-wanita dengan baik. " (Hadis riwayat al-Bukhari no: 4890)
Rasulullah SAW sang suami terbaik bersabda : " Perempuan itu seperti tulang rusuk. Jika kamu ingin memperbetulkannya kamu akan mematahkannya. " (Hadis riwayat al-Bukhari no: 4889).
No comments:
Post a Comment