Sunday, July 8, 2012

Perkahwinan : Antara Rezeki Allah Dan Persangkaan Manusia


Allah berfirman: " Dan nikahkanlah orang-orang yang bujang di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui." ( Surah An Nur ayat 32 )

Cuba kita fikirkan sejenak tentang ayat yang mulia ini dan apakah kebenaran ayat ini. Generasi hari ini menganggap bahawa kestabilan ekonomi yang sejajar dengan dunia moden adalah sukatan terhadap kelayakan seorang lelaki untuk berkahwin. Adakah kita tidak yakin dengan Sunnatullah yang Allah janjikan dalam ayat di atas ?

Adakah kita tidak memerhatikan rezeki ibu bapa kita berubah dari tahun ke tahun dan berkadar langsung dengan penambahan adik beradik kita ? Bukankah dari segi logik akal , semakin banyak adik beradik semakin sempit hidup ? Mengapa kurniaan yang kita nikmati hari ini sangat bercanggahan dengan logik akal itu ? Adakah sama ekonomi ibu bapa kita dan atuk nenek kita pada masa kini berbanding puluhan tahun lepas jika mereka orang yang tetap mendirikan solat dan menunaikan zakat ? Kita tahu semua jawapannya dengan jelas.

Kita telah menjadi saksi terhadap perjalanan hidup kita dan juga menjadi saksi terhadap perjalanan hidup ibu bapa kita jika mereka orang yang beriman. Kalaulah kebenaran itu sudah di depan mata dan bukti sunnatullah dari nas Quran sudah dibentang, mengapa kita perlu menokok tambah teori perkahwinan dan hukum pernikahan yang tidak berasal dari Allah dan Rasul lalu menganggapnya sebagai baik ? Jika kita merasakan akal kita pintar, semestinya kepintaran itu dibuktikan dengan kita menganggap pencipta akal itu lebih pintar berbanding kita. Maka pilihan yang paling tepat dan waras ialah meyakini janji-janji Allah sebagai pencipta sekalian alam.

Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan menyempitkan (bagi siapa yang dikehendaki-Nya), akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui ( Surah As Saba ayat 36 )

Menariknya Allah mengatakan " kebanyakan manusia tidak mengetahui ". Mengapa kebanyakan manusia tidak mengetahuinya dan hanya sedikit yang menyedarinya ? Kerana kebanyakan manusia menjangkakan rezekinya hanya daripada gajinya sebagai jurutera, doktor, peguam dan lain-lain. Jika Allah menghalang rezeki itu dari sampai kepada majikannya, kepada siapa lagi boleh mereka meletakkan pengharapan selain daripada Allah ? Kebanyakan manusia menjangkakan bahawa dia boleh menjadi senang dengan bekerja di sektor kerajaan dan mereka menghitung-hitung wang pencen yang bakal mereka terima 40 tahun akan datang. Perbuatan ini tidak ubah seperti mereka yakin mereka dapat hidup tanpa mati sehingga waktu mereka menerima wang tersebut. Tahanlah kematian dari diri mereka sebelum pencen jika mereka orang-orang yang benar !

Kita memuji wanita-wanita yang bernikah muda ketika keperluan nikah datang kepada mereka. Adakah kita masih tidak sampai ke tahap perlunya nikah di zaman yang serba mencabar ini ? Syabas buat wanita yang bernikah muda atau yang sedang merancang dengan bertunang . Kalian membuat keputusan yang meningkatkan kemuliaan dan maruah kalian di sisi Allah. Biarlah apa sahaja tuduhan yang dilontarkan kepada kalian. Paling tidak kalian berjaya membuktikan takutnya kalian kepada Allah dengan mengambil keputusan untuk bernikah. Untuk apa kalian bernikah jika bukan kerana takut kepada azab Allah ? 

Bagi mereka yang menghalangi dan menyusahkan perkahwinan dengan teori akal dan adat, mengapakah mereka menganggap pernikahan itu suatu yang lucah sehingga setiap pelakunya perlu diuji dan diberi banyak halangan ? Mengapakah pelaku nikah itu dianggap sedang " gatal hendak berkahwin " ? Tidakkah pernikahan itu ibadah dan tidakkah perbuatan menyusahkan perkahwinan itu sama dengan perbuatan menyukarkan perjalanan seseorang ke masjid ?

Bagi wanita yang ingin meneruskan hasrat murni ini, bulatkan tekad, kuatkan azam dan bertawakkal lah kepada Allah yang menciptakan kalian dari jiwa yang satu ( Adam ). Sesungguhnya Sunnatullah di muka bumi itu lebih besar dari setiap teori akal manusia. Sunnatullah pasti akan berjalan seperti yang dijanjikan sekalipun cuba dihalang oleh sekalian makhluk. Tidak mengapa jika kalian diherdik dan dipandang serong oleh makhluk di bumi asalkan kalian dipandang mulia dan diredhai yang di langit. Insyaallah.

Hadis renungan:

Rasulullah Bersabda : " Barangsiapa menyembunyikan ilmu ( agama ketika masyarakat memerlukannya ), maka Allah akan mengikatnya dengan tali kekang dari api neraka pada hari kiamat " ( Hadis Riwayat Ibn Hibban. Sahih Ibn Hibban )

Wallahua'lam.

Ambil Tahulah Tentang Agamamu Sendiri

Apabila ahli dunia itu melihat saudaranya mendapat kereta yang mewah, mereka merasa teruja dan berfikir, " Kalaulah kereta itu milik aku ". Namun orang mukmin apabila melihat saudaranya mati syahid, itu merupakan cemburu yang paling besar. Kerana saudaranya itu kelak akan menjadi sangat kaya raya di akhirat sedangkan dirinya belum pasti akan memperolehi semua itu. Andaikata sebuah negara zalim mewajibkan untuk setiap rakyat dibunuh ketika mencecah umur 30 tahun, pasti menggigil mereka yang telah memasuki umur 28 atau 29 tahun.

Namun Allah telah pun mewajibkan setiap manusia itu untuk mati sekalipun mereka tidak suka. Tidak ada seorang pun mengatakan Tuhan itu zalim kerana mewajibkan setiap jiwa untuk mati. Semua akan merasa roh ditarik keluar dan pucatnya sekujur tubuh disulami dengan kesakitan yang amat sangat. Para sahabat telah merasainya, para ulama yang kita baca kitabnya juga telah merasainya dan orang-orang di sekitar kita juga telah ramai yang merasai sakitnya ajal. Bahkan nama-nama ahli dunia yang kita banggakan seperti Newton, Einstein, Aristotle dan lain-lain semuanya sudah direntap nyawa masing-masing dan buruknya nasib mereka jika mereka kufur.

Mereka telah merasakan peritnya kematian dan sedang sibuk menguruskan urusan mereka di alam arwah. Kita semua juga pasti akan merasainya. Namun setiap orang seolah-olah cuba memujuk diri sendiri untuk melupakan mati. Bahkan ketika kita terfikir tentang kematian diri sendiri, cepat-cepat kita menepis gambaran itu dari minda. Walhal mati itu satu kepastian dan tidak akan dinafikan melainkan si gila yang telah hilang fungsi logik akal.

Namun itulah bisikan syaitan. Syaitan laknatullah telah membuatkan manusia takut memikirkan tentang kematian dirinya sendiri dan menjadikan manusia tidak mengizinkan gambaran kematian dirinya sendiri untuk singgah di benak fikiran walaupun sekejap.

Walhal manusia yang waras pasti tahu dirinya akan mati. Itu realiti yang mesti ditempuh ! Jadi mengapa menepis gambaran kematian diri sendiri jika ia singgah di benak fikiran ? Jika kita waras, pasti kita sedar daripada kita tidak buat apa-apa untuk persediaan mati, lebih baik kita beramal dengan amal yang soleh.

Jika tidak berbuat apa-apa untuk memburu syurga, pasti syurga tidak menjadi tempat kita kelak. Kulit kita akan dibakar di neraka dalam keadaan ahli syurga sedang menikmati kenikmatan seks dan makanan yang lazat-lazat. Apa perasaan kita jika kita sedang merasai kesusahan dan azab dalam masa yang sama ahli syurga sedang bersenang lenang ? Apa perasaan kita meminum air nanah dari neraka dalam keadaan penduduk syurga sangat gembira kerana mereka tahu mereka tidak akan keluar lagi dari syurga buat selama-lamanya ? Mungkin ada yang berkata, " Ah, kita ini akan masuk neraka juga tapi tak lama. Mengapa perlu taksub belajar agama ? ".

Jawab Allah :

" Mereka diseru kepada kitab Allah supaya kitab itu menetapkan hukum di antara mereka; kemudian sebahagian dari mereka berpaling, dan mereka selalu membelakangi (kebenaran). " ( Ali Imran : 23 )

" Hal itu adalah kerana mereka mengaku: "Kami tidak akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang dapat dihitung". Mereka diperdayakan dalam agama mereka oleh apa yang selalu mereka ada-adakan " ( Ali Imran : 24 )

Namun bagaimana jika kulit mereka benar-benar dibakar ? Mampukah mereka menahannya walau seminit ?

" Bagaimanakah nanti apabila mereka Kami kumpulkan di hari (kiamat) yang tidak ada keraguan tentang adanya. Dan disempurnakan kepada tiap-tiap diri balasan apa yang diusahakannya sedang mereka tidak dianiaya (dirugikan)." ( Ali Imran : 25 )

Namun, jika kita berusaha untuk beramal, paling tidak peluang untuk kita ke syurga masih terbuka dan kita serahkan kepada Allah untuk menilai amalan yang telah kita lakukan di dunia.

Jika kita masih merasakan bahawa kehidupan selepas mati itu seolah mitos hang tuah yakni mungkin benar dan mungkin karut, cubalah buktikan bahawa Quran itu dusta, Muhammad itu dusta, Isa itu dusta, Musa itu dusta dan Ibrahim itu dusta. Datangkan semua hujah-hujah jika kita mampu. Jika tidak mampu membuktikannya, maka takutlah kepada azab Allah yang dijanjikan untuk orang yang tidak mahu mendekati agamanya sendiri.

Wallahua'lam.

Penuntut Ilmu Yang Bercirikan Munafiq ?


BERIKUT ADALAH ANTARA CIRI-CIRI MUNAFIK YANG DISENARAIKAN OLEH DR AIDH ABDULLAH QARNI DALAM BUKUNYA ' JAUHI PARA MUSUHMU ' , M/S 22-23 & 26-27 :


Memperbesarkan masalah kecil dan meremehkan masalah besar ( m/s 22-23 )


Allah berfirman : " Sesungguhnya apabila tidak berhenti orang-orang munafiq yang berpenyakit dalam hatinya dan orang-orang yang menyebarkan berita bohong di Madinah ( dan menyakitimu ) " ( Surah Al Ahzab : 60 ) 

Pada hakikatnya Al Irjaf dan At Takhdzil sama. Tetapi pelaku Irjaf biasanya sering membesar-besarkan kejadian. Misalnya, apabila terjadi hal yang mudah dia menyukarkan dan memperbesarkan.Apabila mendengar seorang Mujahid terbunuh, dia akan berkata : " Saya mendengar 100 Mujahid terbunuh. ".

Atau misalnya, apabila seorang ulama melakukan kesalahan dalam masalah yang tidak penting, ia berkata : " Semoga Allah SWT memberikan hidayah kepada kita dan khusus kepada beliau ".

Mereka membodoh-bodohkan orang yang berbuat kebaikan. " Orang-orang apakah seperti ini ? " Seakan-akan orang yang baik itu tidak pernah melakukan kebenaran. Apabila seorang Dai'e berkhutbah sedangkan ada kata-kata yang kurang tepat, maka si murjif ( pelaku irjaf ) membesar-besarkannya di majlis tersebut dengan katanya : " Apakah kamu tidak mendengar apa yang dikatakan Si Fulan tadi ? ".

Bahkan ia cuba memotong ceramahnya. Ia melupakan, orang dai'e tersebut memiliki banyak kebaikan dan keutamaan, akan tetapi tidak pernah ia utarakan kepada khalayak.

As-Syatibi berkata : " Aku tidak pernah melihat bahaya orang yang murjif. Demi Allah, apabila aku benar 99 kali, mereka akan melupakanku ketika aku melakukan satu kali kesalahan  ". Ini merupakan irjaf. Dengan perilaku ini, mereka telah mencerai-beraikan hati. 


Merendahkan Kehormatan Orang-orang Soleh ( m/s 26-27 )


Perkara ini berbeza dengan mencemuh. Contoh merendahkan atau melecehkan adalah menghibah ( mengumpat ) orang-orang soleh.

Allah SWT berfirman :" Mereka mencaci kamu dengan lidah yang tajam sedangkan mereka bakhil dalam berbuat kebaikan ". ( Surah Al Ahzab : 19 ) 

Hidadin dalam ayat asal ( Bahasa Arab ) di atas ini ertinya, seolah-olah pedang. Ini dapat dilihat dari sikap munafik yang apabila mereka itu bertemu orang-orang soleh mereka membicarakan di belakang, memburukkan dan melecehkan kehormatan mereka dengan ghibah dalam pertemuan mereka.

Ibn Taimiyyah mengatakan bahawa di dalam doa itu juga kadang terdapat ghibah yang disebabkan oleh niat itu sendiri. Apabila engkau berkata : " Apa pendapatmu tentang Si Fulan ? ". Ia menjawab : " Semoga Allah SWT mengampuni kita dan dia ". Tapi apa yang dia maksudkan bukan mendoakan keampunan tetapi ada niat lain yang Allah SWT lebih mengetahui.

Contoh doa lainnya : " Semoga Allah SWT menyelamatkan kita dari cubaan dia " atau " Semoga Allah SWT memberikan hidayah kepadanya ".

Bahkan dalam tasbih pun terdapat ghibah, seperti dikatakan Abdullah Ibn Mubarak.Dikisahkan, ada seorang lelaki yang menghadiri pertemuan dengan sultan. Lalu salah seorang menteri berkata : " Subhanallah ". Yang dia maksudkan adalah " hati-hati pada si lelaki ".  Secara zahirnya, menteri itu membaca tasbih, padahal ada niat lain yang tersembunyi dalam hatinya, ia menghina dan memburukkan lelaki itu. Inilah perbuatan-perbuatan hati, hanya Allah SWT yang Maha Tahu. Pada waktu dibangkitkan dari kubur semua yang terbenam dalam hati akan terdedah dan terungkap.Wallahua'lam. 

_____________________________________________________________________.

Komentar saya : Nota ini menjadi kelebihan bagi kita untuk menilai mana satu rakan seperjuangan dan mana satu musuh yang bakal mengheret kita kepada azab Allah yang membakar. Setelah mengetahui ciri-ciri ini maka kita akan lebih mengetahui siapakah yang perlu kita TAHZIR ( PULAU ) sebenarnya. Dengan ilmu yang kita ketahui ini, diharap kelak kita tidak lagi menyanjung atau bersekongkol dengan manusia yang bersikap begini. Yang paling penting ialah kita sentiasa berdoa agar kita diselamatkan dari menduduki tempat munafik di akhirat kelak yakni berada di kerak paling bawah dalam neraka Jahannam. Bahkan lebih bawah dari orang kafir dan penyembah berhala. Waiyyazubillah.

Seks Di Syurga Itu Jijik ?


Mungkin ada yang terkejut mengapa saya membangkitkan isu yang agak sensitif ini. Namun kita perlu menerima realiti dan tidak boleh untuk kita menyembunyikan fakta yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada kaum Muslimin. Adakah wajar untuk kita hanya menyebutkan beberapa hal lalu memadamkan hal-hal yang lain di dalam Islam untuk sampai kepada manusia ? Sedangkan semua nas-nas itu bertujuan untuk menyeimbangkan psikologi manusia apabila habuan seperti seks di syurga ditawarkan kepada orang-orang yang beriman.

Kaum kafir itu mempersendakan Islam kerana menggambarkan syurga itu seolah-olah tempat terjadinya pesta seks dan mereka menganggap perkara itu merupakan perlanggaran moral di tempat yang suci. Kita katakan kepada kaum kafir adakah mereka itu layak bercakap demikian sedangkan mereka itu bersetubuh seperti keldai-keldai di atas muka bumi Allah sedangkan perkara itu dilarang oleh Allah ? Apa masalahnya jika Allah menawarkan keluasan seks di syurga sedangkan syurga itu tempat untuk mendapatkan nikmat tanpa batasan.

Ia hanya dianggap jijik dan tidak bermoral hanya kerana ketika di dunia manusia dibebankan dengan batas-batas syarak tertentu. Sedangkan di syurga bukan lagi tempoh pembebanan syariat sebaliknya tempoh untuk melunaskan segala keinginan manusia dan tempoh bersukaria semata-mata sebagai ganjaran dari Allah. Kita katakan kepada kaum kafir, adakah mereka tidak menganggap seks itu suatu yang nikmat dan suatu yang penting untuk manusia sehingga dia memandang serong perlakuan seks yang meluas di syurga ? Jika mereka tidak sukakan seks di syurga, mengapa pula Allah ciptakan organ kemaluan dengan deria-derianya ? Apa perbezaan antara memuaskan organ lidah dalam pemakanan dan memuaskan organ kelamin dalam seksual ?

Kedua-duanya saya katakan adalah nikmat yang fitrah untuk manusia cuma lisan dan kemaluan itu dibebankan dengan batasan-batasan syarak hanya di dunia sahaja. Kita tidak boleh memakan yang haram dan tidak boleh melakukan persetubuhan secara haram ketika berada dalam tempoh taklif ( pembebanan ) di dunia. Adakah kaum kafir tidak mahu kepada tawaran yang maha indah di syurga itu ? Jika seluruh manusia bersepakat seks itu antara satu nikmat terbesar dalam sekian banyak nikmat, maka tidaklah syurga itu dinamakan syurga jika tidak wujudnya kenikmatan seksual di sana. Jika mereka tidak mahu menerima tawaran ini, maka mereka itulah kaum yang rugi dengan kerugian yang besar sedangkan mereka itu akan diazab di neraka manakala ahli syurga begitu sibuk dengan kenikmatan. 

Setelah saya membaca sebahagian teks dari kitab Bidayah Wan Nihayah dari Ibnu Katsir maka saya ingin sampaikan khabar gembira ini kepada mereka yang berpenat lelah memburu rahmat Allah ketika di dunia. Jika kita mengaku bahawa seks itu merupakan nikmat yang besar kurniaan Allah, maka lihatlah tawaran berikut untuk menguatkan ketaqwaan kita kepada Allah :

Menurut Riwayat Abu Daud Ath-Thayalisi dari Anas RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : " Seorang mukmin dalam syurga diberi kekuatan sekian dan sekian lelaki. Saya ( Anas ) berkata , " Ya Rasulullah, kuatkah dia melakukan itu ? ". Rasulullah menjawab , " Dia diberi kekuatan seratus ( orang lelaki ). [ Riwayat Abu Daud At Thayalisi dalam musnadnya 2/242 ]

Mengapa memerlukan kekuatan 100 lelaki ?

At-Thabrani meriwayatkan dari Abu Hurairah RA : " Pernah ditanyakan, " Ya Rasulullah, adakah orang lelaki melakukan persetubuhan di dalam syurga ? " - dan dalam riwayat lain, " Apakah kita menyetubuhi isteri-isteri kita ? ". Rasulullah menjawab , " Demi Allah yang menggenggam jiwaku, sesungguhnya seorang lelaki dalam satu pagi benar-benar menyetubuhi seratus perawan ". [ Hadis riwayat Al Haithami, Al Bazzar , Qurtubi dan Ibn Majah ]

Al Hafiz Dhiya' mengatakan : " Menurutku hadis ini sesuai syarat sahih ".

Maka tidakkah kita bersyukur dengan nikmat luar biasa yang ditawarkan oleh Allah yang maha permurah apabila seseorang menyetubuhi seratus perawan hanya dalam satu pagi ? Jika Allah menjadikan seks itu sebagai nikmat yang besar di atas muka bumi milikNya, maka menjadi hak Allah untuk memberikan nikmat itu berlipat kali ganda di syurga yang turut menjadi milikNya.

Jika kita merenung kepada Surah Yasin ayat 55 dan 56 ada menyebut:

إِنَّ أَصْحَابَ الْجَنَّةِ الْيَوْمَ فِي شُغُلٍ فَاكِهُونَ هُمْ وَأَزْوَاجُهُمْ فِي ظِلالٍ عَلَى الأرَائِكِ مُتَّكِئُونَ

Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan. Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin. "

Ibnu Mas'ud , Ibnu Abbas dan ramai para mufassir yang lain mengatakan, bahawa kesibukan ( شُغُلٍ ) penghuni syurga pada ayat ini, yang dimaksudkan ialah membedah keperawanan ( persetubuhan ).

Maka mengapa nikmat yang besar ini tidak diwar-warkan kepada kaum Muslimin agar mereka bersemangat untuk memburu syurga ? Ketahuilah segala ayat Quran dan Hadis serta saranan-saranannya bukanlah suatu yang perlu dipinggirkan kerana setiap perkara itu ada faedah psikologinya kepada manusia. Ketahuilah wahai orang-orang beriman, jika anda bersabar memburu syurga ketika berada di dunia, maka kematian anda merupakan saat bermulanya segala nikmat dan kesenangan. Jika anda ditakdirkan untuk menjadi ahli syurga, maka bermulalah episod nikmat yang tidak terbatas setelah malaikat maut mencabut nyawa anda. Manakala orang yang kafir dan jauh dari agama pula kematian mereka merupakan satu perjalanan menuju kepada kesengsaraan dan nikmat-nikmat yang mereka rasai ketika di dunia hanya tinggal kenangan.

Wallahua'lam. 

Rujukan hadis dan tafsiran surah : Bidayah Wa An-Nihayah karya Al-Hafiz Ibn Katsir RH

Tudung Wanita : Benarkah Boleh Dipaksa ?

Gambar polis keagamaan Iran mengenakan tindakan kepada wanita mereka yang tidak sempurna dalam berpakaian. Cara Syiah yang turut diikuti oleh sebahagian negara Sunni ini adalah tidak tepat dalam uslub dakwah.


Malam ramadhan yang hening ini sesuatu telah bermain di minda saya sambil menganalisis kesalahan diri dalam memahami cara mengislah ( mendidik ) wanita. Seorang wanita yang diutuskan Allah kepada saya melalui ketentuan taqdirNYA telah mengajar saya suatu pengajaran yang besar secara tak langsung.

Rasanya macam kadang-kadang kita sendiri kabur tentang kaedah terbaik dalam mengajak wanita ( terutamanya isteri ) kepada syariat. Bila kita teliti semula khazanah sirah yang sahih, ia seolah-olah menggambarkan dalam bab pakaian tak boleh terlalu memaksa walaupun melibatkan keputusan wanita untuk pakai tudung atau tidak ( freehair ). Sebab dalam mengislah ( memperbaiki) manusia, Allah memerintahkan sesuatu peringkat demi peringkat. Tidaklah Allah memerintahkan hijab serta merta selepas Nabi Muhammad SAW dilantik menjadi Rasul bahkan ayat perintah untuk berhijab turun pada tahun ke-5 Hijrah iaitu 5 tahun sebelum kewafatan baginda SAW dan 5 tahun sebelum sempurnanya agama ! Contohnya ketika zaman Rasulullah SAW, kaum muslimin selepas memeluk Islam makin hari makin rasa tak senang dengan keadaan pakaian wanita mereka walaupun ayat perintah untuk wanita berhijab belum lagi diwahyukan. Antara sahabat yang paling peka dan mampu meluahkan perasaan tidak senang dengan keadaan cara berpakaian wanita mereka adalah Umar Al Khattab RA yang terkenal dengan ilhamnya yang tajam dan tepat. Perasaan tidak senang itu semakin hari semakin meningkat berkadar lansung dengan peningkatan iman semenjak para sahabat memeluk Islam sehingga akhirnya Umar Al Khattab meluahkan isi hatinya kepada Rasulullah SAW.

Daripada Aishah RA, bahawa apabila para isteri nabi hendak buang air pada malam hari, mereka pergi ke tanah lapang. Umar Al Khattab mengusulkan kepada Nabi supaya menyuruh para isteri baginda memakai hijab, tetapi Rasullullah tidak berbuat apa-apa. Pada suatu malam isteri nabi Saudah Binti Zam'ah keluar waktu Ishak dan dia adalah seorang yang tinggi perawakannya, lalu Umar menyapanya " Hai kami mengenal engkau, wahai Saudah ". Dia menyapa kerana sangat mengharapkan supaya turun ayat (perintah hijab) memang sesudah itu turun ayat hijab ( Riwayat Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari Jilid 1 )

Dalam kes khamr ( arak ) pula, Allah tidak mengharamkan sekali gus tetapi hanya melarang untuk bersolat dalam keadaan mabuk pada peringkat awalnya.

Allah berfirman : " Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat sedang kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan " (An-Nisaa', Ayat 43)

Ketika itu kaum muslimin tetap meminum arak namun menunggu sehingga fikiran mereka pulih seperti sediakala dan boleh menyedari apa yang diucapkan jika ingin menunaikan solat. Tentu situasi ini menimbulkan kecanggungan bagi kaum muslimin yakni sukar untuk mereka melakukan solat 5 waktu akibat kesan khamr yang agak lama untuk beransur hilang di dalam akal. Justru, Allah menguraikan kekusutan mereka dalam kehidupan yang keliru dengan menurunkan ayat pengharaman khamr secara sempurna selepas itu. Lantas kaum muslimin yang selama ini menyimpan di dalam jantung hati tentang keganjilan tabiat minum khamr terus bersepakat dengan nas Quran yang memahami keadaan mereka ketika itu yang berselang seli solat dan bermabuk-mabukan sehingga menyukarkan diri sendiri. Tanpa berfikir panjang mereka menumpahkan tong-tong khamr di rumah mereka sehingga madinah dipenuhi air-air arak di setiap lorong dan jalan ketika hari turunnya ayat pengharaman khamr.

Maka daripada pengajaran sirah ini, Allah lebih tahu perintah hijab wajar turun di dalam Quran pada tahun 5 Hijrah. Mungkinkah Allah tidak mengetahui kepentingan hijab sebelum tahun 5 Hijrah ? Allah tahu namun Allah memerintahkan pada masa yang tepat apabila akidah dan iman mereka (para sahabiah ) sudah dimantapkan dan digilap dari hari ke hari. Wanita mukminat ketika itu makin sedar ada suatu yang tak kena pada pakaian mereka akibat iman yang fitrah semakin mekar di dalam diri. Disebabkan itu wanita mukminat di Madinah pada masa itu segera menutup apa yg diperintahkan untuk ditutup sejurus selepas turunnya ayat perintah untuk berhijab kerana iman mereka sudah dimantapkan dengan didikan madrasah Nabi SAW.

Kesimpulannya di sini lelaki yang terlalu gopoh dalam memaksa pakaian wanita akan menyebabkan lahiriah wanita itu lebih lajak dari laju dari batiniah mereka. Sedangkan Islam mementingkan keseimbangan dalam pembangunan lahiriah dan batiniah. Maka wanita itu akan jadi hipokrit atau munafik tanpa disedari akibat melakukan sesuatu kerana terpaksa. Oleh sebab itu kita lihat zaman ini wanita berhijab labuh juga terjebak dalam gejala-gejala keji kerana mereka mementingkan pembangunan lahiriah namun mengabaikan pembangunan jiwa dan iman.

Mungkin para pembaca merasa terkejut saya menggunakan perkataan 'hipokrit' yang sering digunakan sebagai hujah biasa wanita Freehair dalam mempertahankan diri.Namun saya merasakan apa yang mereka cakap itu tidak bersalahan dengan fitrah perasaan manusia dan memang benar manusia itu tidak boleh dipaksa. Mungkin kita sendiri yang tersalah dalam menasihati yakni meletakkan nasihat bukan pada tempatnya sehingga wujudnya ucapan bela diri dari wanita Freehair.

" Tidak ada paksaan dalam agama " ( Surah Al Baqarah : Ayat 256 )

Ada yang mengatakan dalil di atas ini hanya dalam bab tidak ada paksaan untuk memasuki Islam bukannya setelah memasuki Islam. Orang yang berkata demikian mungkin agak terlalu sibuk dengan latar peristiwa dan sebab turunnya wahyu ( asbabun nuzul ) sehingga melupakan illah hukum ( sebab hukum ) dan psikologi fitrah manusia yang terkandung dalam ayat itu sebagai ukuran yang lebih penting. Sebab teras hukumnya di sini ialah tak mungkin manusia menerima sesuatu sebelum dia diyakinkan tentang sesuatu sehingga dia sendiri ingin melakukannya dengan rela. Jika tidak , maka akan berlaku kontradiksi yang hebat antara kadar iman yang tertanam dalam jantung hati dan penampilan zahir yang saling sentiasa bercanggah satu sama lain. Jika seseorang itu memahami bahawa iman itu bertambah dan berkurang serta mengalami revolusi walaupun telah berada dalam agama Islam, maka semestinya dia tidak menyempitkan tafsiran surah Al Baqarah ayat 256 hanya terhad illahnya ( sebab hukum ) kepada kondisi ' tiada paksaan dalam memeluk Islam sahaja '.

Maka saya cenderung berpendapat lelaki yg lebih lajak dari laju dalam membentuk penampilan wanita telah melakukan kesilapan yang nyata apabila dia belum mampu memahamkan wanitanya mengenai keindahan islam dan kecantikan sunnah. Bahkan kegopohan dalam memaksa pakaian wanita adalah suatu yang bercanggah dengan fitrah kewanitaan dan lebih mengeruhkan keadaan.Sudahkah sang suami membuktikan sifat-sifat suami mukmin yang dicontohkan oleh Rasulullah ? Rasulullah itu adalah orang yang terbaik dalam memperlakukan Isteri seperti yang disebutkan baginda :

Rasulullah bersabda : " Yang terbaik di antara kamu adalah orang yang terbaik dalam memperlakukan isterinya, dan aku adalah yang terbaik di antara kamu terhadap isteriku " ( Riwayat Ibn Majah )

Sudahkah kita mencontohkan kepada isteri kita akhlak yang baik dan berhikmah ? Sudahkah kita mengaplikasikan sebaiknya konsep keadilan dalam rumah tangga ? Sudahkah kita mampu menjadi seorang yang menarik rambut di dalam tepung ketika mendidik isteri ?

Rasulullah SAW sang suami mithali bersabda : " Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya dan hendaklah dia menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya mereka diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok ialah yang paling atas, jika kamu berusaha untuk membetulkannya kamu akan mematahkannya, jika kamu terus biarkan begitu ia akan terus bengkok. Oleh itu terimalah pesanan supaya menjaga wanita-wanita dengan baik. " (Hadis riwayat al-Bukhari no: 4890)

Rasulullah SAW sang suami terbaik bersabda : " Perempuan itu seperti tulang rusuk. Jika kamu ingin memperbetulkannya kamu akan mematahkannya. " (Hadis riwayat al-Bukhari no: 4889).


Psikologi Iblis

[ Dirujuk pada Kitab Mukhtasar Bidayah Wan Nihayah karya Ibn Katsir R.H yang diringkaskan oleh Dr Ahmad Al-Khani. Keluaran Pustaka Azzam m/s 36-37 ]


Banyak ulama tafsir berkata : " Jin diciptakan sebelum Adam A.S. Penghuni bumi sebelum manusia adalah Hin dan Bin. Allah menjadikan jin menguasai mereka. Jin membunuh mereka lalu berdiam di bumi setelah peperangan yang telah terjadi. "

Adh-Dhahhak menyebutkan dari Ibn Abbas , bahawa setelah jin membuat berbagai kerosakan di muka bumi dan menumpahkan darah, Allah mengutuskan Iblis kepada mereka, bersama para tentera dari langit. Mereka membunuh para jin ( jin yang paling lemah dan paling rendah ) dan mengusirnya dari bumi ke pulau-pulau di tengah laut. 

Hasan Al Basri berkata: " Iblis bukan dari malaikat sedikit pun. Akan tetapi dia adalah asal-mula para jin, sebagaimana Adam asal-mula manusia. " 

[ Tamat petikan kitab ]

Setelah peristiwa ini, Iblis diangkat menjadi khalifah para jin yang mendiami bumi. Namun bermulanya episod kehidupan baru Iblis setelah Allah berfirman :

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi". Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau? " Tuhan berfirman: " Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui ". ( Al Baqarah: Ayat 30 )

Setelah Allah melantik Adam A.S dengan hak mutlakNYA, maka tergugatlah kedudukan Iblis yang selama ini menyandang kerusi khalifah. Maka sifat hasad terhadap kelebihan Allah kepada orang lain timbul dalam diri Iblis. Amarahnya membuak dan takabburnya terzahir apabila dia ingkar untuk sujud kepada Adam A.S yang telah mengambil tampuk kehormatannya. Oleh sebab dirinya dikuasai takabbur, hasad dan amarah, maka kebenaran seperti tidak kelihatan baginya. Lantas dia melakukan kesalahan fatal seperti berikut:

1) Membuat Qias yang salah atau rosak dalam hujahnya. Perhatikan dalam ayat berikut bagaimana sikap takabbur mengheret Iblis kepada Qias ( perbandingan ) yang rosak :

Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku memerintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.” ( Surah Al-A’raaf: Ayat 12 )

Kita bertanya kepada Iblis : " Apa kaitan perbezaan api dan tanah dengan arahan mutlak dari Allah SWT ? ". Maka manusia yang berdolak dalih dengan Qias yang rosak demi melarikan diri dari ketaatan terhadap arahan Allah SWT telah pun mengikuti jejak langkah Iblis. Pelbagai Qias dan dalih dicipta oleh manusia untuk mengelak dari taat kepada Sunnah Baginda SAW dalam setiap amalannya walaupun tahu Allah SWT itu tuhan sekalian alam. Penyakit ini sering menyerang Ahli Bid'ah sehingga ia lupa pada firman Allah :

"Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutlah aku ( Nabi SAW ), nescaya Allah mencintai kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". ( Surah Ali Imran : Ayat 31)

Wahai Ahli Bid'ah ! Terimalah kenyataan bahawa Rasulullah SAW telah dilantik oleh Allah SWTsebagai penyampai syariat yang tunggal. Tundukkan ego dan berpalinglah terhadap firkah-firkah ciptaan manusia yang kalian agungkan. Sesungguhnya Iblis benar-benar tersungkur apabila gagal memahami konsep ini. Al-Quran juga telah merakamkan kebodohan kaum terdahulu apabila ingkar terhadap kebenaran hanya kerana tidak mahu nenek moyang mereka dipersalahkan.

Allah berfirman: “Apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah mengikuti apa yang telah diturunkan Allah dan mengikuti Rasul !” Mereka menjawab: “Cukuplah untuk kami apa yang kami warisi dari nenek moyang kami!” (Apakah mereka tetap akan mengikuti juga) walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun dan tidak dapat petunjuk?!” ( Surah Al Maidah : Ayat 104 )

2) Menghina makhluk Allah yang lainnya:

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; maka mereka sujudlah melainkan iblis; ia berkata: “Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah? ” ( Surah Al-Isra’ : Ayat 61 )

Tidak diragukan lagi apabila kita menghina orang lain, kewarasan akal kita pasti tertutup. Maka mudahlah takabbur, hasad dan amarah bercampur baur dalam jantung hati. Padahal itu sifat tradisi yang cuba diwariskan kepada kita oleh Iblis laknatullah. Apabila diseru kepada seseorang untuk kembali kepada kebenaran lantas orang itu memandang lekeh kebenaran yang dibawa kepadanya ( padahal semua itu daripada Allah dan Rasul ), maka orang itu pasti dipalingkan dari kebenaran yang tidak menjadi pilihannya itu.

3) Memilih kesesatan :

Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperindahkan (segala jenis kemungkaran) kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.” ( Surah Al-Hijr : Ayat 32-39 )

Dalam perenggan perkataan “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat ”, seolah-olah Iblis menyandarkan segala kesalahannya dari awal ( enggan sujud ) hinggalah yang terkini ( diusir dari langit ) berpunca dari Allah Subhanahu wa Ta'ala. Kemudian, perkataan Iblis itu tidak pula dibantah oleh Allah.

Tanpa adanya bantahan dari Allah, apakah dengan itu perkataan Iblis adalah benar dan ia bukan tuduhan semata-mata? Adakah sememangnya Allah yang sengaja menjadikan Iblis takabbur dan sesat sehingga diusir dari langit ?

Persoalan ini dijawab bahawa kesalahan Iblis secara keseluruhannya berpunca dari dirinya sendiri. Kesalahan tersebut bermula dari Iblis yang memilih untuk bersikap takabbur sehingga melawan perintah Allah untuk sujud kepada Adam. Atas pilihan Iblis inilah Allah menyesatkannya. Ini kerana merupakan peraturan Allah (sunnatullah) bahawa sesiapa yang memilih untuk berpaling, melawan atau membantah dari perintah-Nya, maka Allah akan memaling orang tersebut dari hidayah-Nya sehingga menjadilah dia orang yang sesat. Ayat berikut menjadi rujukan:

Allah Berfirman: " Maka ketika mereka berpaling (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah memalingkan hati mereka (dari mendapat hidayah); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang fasik -derhaka. " ( Surah Al-Saf :Ayat 5 )

Wallahua'lam